Rabu, 9 September 2015

Errata Buku R


Buku R - Errata


ERRATA muka surat 146 dan 147. Mohon dihapuskan isi pada muka surat 146, langkah 1 sehingga 10 dan gantikan dengan yang berikut: 

Satu bingkai data bernama pelajar akan dicipta dengan nama, jantina, mk1, mk2, pk1 dan pk2 sebagai tajuk-tajuk lajur menggunakan pilihan pada menu R Commander.

1. Klik pada pilihan menu Data > New data set dan tetingkap New Data Set akan dipaparkan seperti berikut:











2. Klik pada medan Enter name for data set dan tukar 'Dataset' kepada 'pelajar' dan klik butang OK.











3. Tetingkap Data Editor: pelajar akan dipaparkan seperti rajah berikut:



















4. Klik pada V1 dan taipkan 'nama' untuk gantikan V1.




















5. Untuk tambah lajur pada tetingkap Data Editor: pelajar, klik pada butang Add column, klik pada V2 dan taipkan 'jantina' untuk tukar tajuk lajur.



















6. Klik pada Add column, klik pada V3 dan taipkan 'mk1' bagi lajur ke-3.

7. Klik pada Add column, klik pada V4 dan taipkan 'mk2' bagi lajur ke-4.

8. Klik pada Add column, klik pada V5 dan taipkan 'pk1' bagi lajur ke-5.

9. Klik pada Add column, klik pada V6 dan taipkan 'pk2' bagi lajur ke-6.

Perhatian!
Pastikan bahawa semua tajuk lajur nama, jantina, mk1, mk2, pk1 dan pk2 menggunakan huruf kecil.

10. Klik pada sel di bawah lajur nama dan taipkan 'ali' menggantikan NA. Klik pada sel di bawah lajur jantina dan seterusnya masukkan data seperti Jadual 3.1.

11. Untuk tambah baris, klik pada Add row dan satu baris baharu akan disediakan.

12. Klik pada butang OK pada tetingkap Data Editor: pelajar setelah selesai masukkan semua maklumat.

Ahad, 19 Oktober 2014

Sesi Amali 2: R Sebagai Kalkulator Grafik

Pengenalan

R ialah satu bahasa pengaturcaraan dan persekitaran untuk mengolah dan menganalisis data. R menggunakan antara muka baris perintah di mana pengguna menaip arahan pada prom dan R melaksanakan arahan itu. Biasanya pengguna akan menyimpan satu siri arahan dalam fail teks untuk digunakan pada masa akan datang. Di antara kelebihan menggunakan pendekatan ini berbanding antara muka berasaskan grafik ialah operasi olahan atau analisis data mudah disimpan untuk diulangi atau dikongsi. Selain itu pengauditan dan dokumentasi proses operasi juga mudah dilakukan.


Objektif Sesi

Objektif sesi ini ialah agar pengguna dapat:
1. mengenali antara muka RGui.
2. melaksana operasi aritmetik pada R Console
3. mencipta pemboleh ubah dan menggunakannya
4. menghasilkan carta bar dan graf fungsi-fungsi
5. mengenali R Editor untuk menyunting
6. mengurus ruang ingatan kerja R

Sesi Amali 1: Memasang R di bawah MS Windows

Sesi Amali 1: Memasang R di bawah MS Windows

Pengenalan

Perisian R diterbitkan di bawah GNU General Public License (GPL), versi 2 dan boleh digunakan untuk apa jua tujuan termasuk untuk tujuan komersial. R boleh dilaksanakan di bawah pelbagai sistem operasi seperti UNIX, Linux, MS Windows dan Mac. Untuk sistem operasi MS Windows XP dan sistem operasi selepas itu seperti Vista, Windows 7 dan Windows 8, pakej asas dan pakej tambahan untuk R ada disediakan. Selain versi untuk pemproses 32 bit, R juga ada versi untuk 64 bit bagi memanfaatkan pemproses 64 bit yang menyediakan ruang kerja ingatan melebihi 4GB, dengan itu boleh mengolah set data yang lebih besar.

Objektif Sesi

Di akhir sesi ini pengguna akan dapat
1. memuat turun dan memasang R
2. memulakan dan menamatkan sesi R

Khamis, 9 Oktober 2014

Apa itu R?

Pengenalan
R ialah satu bahasa pengaturcaraan statistik yang telah bermula dalam dunia akademik dan sekarang  semakin popular. R telah dimulakan oleh Robert Gentleman dan Ross Ihaka yang berkhidmat di Jabatan Statistik, University Auckland New Zealand pada tahun 1995. Nama R dikatakan diambil daripada nama-nama mereka. Semenjak itu, penggunaan R terus berkembang dan semakin meluas dan sekarang digunakan oleh para saintis, ahli statistik dan ahli profesional  untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mencabar dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, kejuruteraan dan kewangan. 

R ialah pakej perisian sumber terbuka yang dilesenkan di bawah General Public License 3 (GPL 3). Ini bermakna R boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma oleh sesiapa sahaja. Di bawah pelesenan ini juga, kod-kod atur cara R boleh dilihat. Oleh itu, kaedah dan algorithma yang digunakan dalam R boleh dilihat dan dikaji. Jika ada pepijat dalam R, besar kemungkinan ia akan dapat dikesan dan diperbetulkan. Usaha kolaboratif oleh ramai pengatur cara dan pembangun perisian yang sentiasa memperbaikinya telah menjadikan R satu perisian yang boleh diharapkan. Hasil analisis yang dijana R adalah tinggi mutu dan ketepatannya.

Promo Buku R

Promo buku yang sama Bahagian 2:

Buku Pakej R Commander Alternatif Kepada Aplikasi SPSS merupakan sebuah buku yang ditulis khusus untuk para pelajar dan guru di semua peringkat pengajian tinggi yang telah biasa menggunakan aplikasi SPSS. Perisian R adalah satu perisian untuk melaksanakan analisis statistik yang berkeupayaan tinggi. Pakej R Commander ialah salah satu pakej dalam perisian R dan boleh dijadikan alternatif kepada aplikasi SPSS. Aplikasi SPSS dilesenkan di bawah lesen komersial manakala R Commander dilesenkan di bawah pelesenan sumber terbuka. Ini bermakna R Commander boleh dimuat turun, dipasang dalam komputer atas meja atau komputer bimbit dan digunakan secara percuma. Pakej R Commander juga boleh disalin dan dikongsi dengan rakan-rakan atau pelajar untuk digunakan tanpa risau melanggar apa-apa undang-undang yang biasanya dikenakan ke atas perisian komersial.

Buku ini memberi penekanan kepada bagaimana menggunakan R Commander melalui pendekatan amali dengan memberi fokus kepada melaksanakan analisis statistik asas. Buku ini sesuai untuk siapa sahaja yang sudah mempunyai pengetahuan asas statistik dan hendak menggunakan R Commander untuk menganalisis data dan membina graf statistik. Tiada pengetahuan terdahulu tentang R atau pengetahuan tentang pengaturcaraan diperlukan.

Buku ini dibahagikan kepada tujuh bab dengan tajuk-tajuk seperti berikut:

Bab 1 – Memasang R Commander
Bab 2 – Pengenalan Kepada R Commander
Bab 3 – Memasukkan dan Mengeksport Data Dalam R Commander
Bab 4 – Mengolah Data Dalam R Commander
Bab 5 – Analisis Data Berparameter Menggunakan R Commander
Bab 6 – Analisis Data Tak Berparameter Menggunakan R Commander
Bab 7 – Grafik Dalam R

Adalah diharapkan buku ini dapat membantu para pelajar dan guru memanfaatkan R Commander dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang saintifik dan beretika.
Alhamdullilah, akhirnya manuskrip untuk buku tentang R telah dihantar ke penerbit. Sudah tentu masa diperlukan untuk menyunting dan menyiapkan salinan contoh buku itu. Mudah-mudahan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun 2014 ini. Untuk makluman pengunjung sekelian, promo bagi buku itu adalah seperti berikut:

Buku Pengenalan Kepada Aplikasi R merupakan sebuah buku yang ditulis khusus untuk para pelajar dan guru di semua peringkat pengajian tinggi untuk memanfaatkan aplikasi statistik R. Aplikasi statistik R adalah satu perisian untuk melaksanakan analisis statistik yang berkeupayaan tinggi. Aplikasi R juga boleh menghasilkan grafik yang menarik. Yang lebih penting ialah aplikasi R dilesenkan di bawah pelesenan sumber terbuka. Ini bermakna R boleh dimuat turun, dipasang dalam komputer atas meja atau komputer bimbit dan digunakan secara percuma. Aplikasi R juga boleh disalin dan dikongsi dengan rakan-rakan atau pelajar untuk digunakan tanpa risau melanggar apa-apa undang-undang yang biasanya dikenakan ke atas perisian komersial.

Buku ini memberi penekanan kepada bagaimana menggunakan aplikasi R melalui pendekatan amali dengan memberi fokus kepada melaksanakan analisis statistik asas. Buku ini sesuai untuk siapa sahaja yang sudah mempunyai pengetahuan asas statistik dan hendak menggunakan R untuk menganalisis data dan membina graf statistik. Tiada pengetahuan terdahulu tentang R atau pengetahuan tentang pengaturcaraan diperlukan.

Buku ini dibahagikan kepada sembilan bab dengan tajuk-tajuk seperti berikut:

Bab 1 – Memasang R
Bab 2 – R Sebagai Kalkulator Grafik
Bab 3 – Memasukkan dan Mengeksport Data
Bab 4 – Mengolah Data Dalam R
Bab 5 – Fungsi Dalam R
Bab 6 – Skrip Dalam R
Bab 7 – Analisis Data Berparameter
Bab 8 – Analisis Data Tak Berparameter
Bab 9 – Grafik Dalam R

Adalah diharapkan buku ini dapat membantu para pelajar dan guru memanfaatkan R dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang saintifik dan beretika.