Pengenalan
R ialah satu bahasa pengaturcaraan statistik yang telah bermula dalam dunia akademik dan sekarang semakin popular. R telah dimulakan oleh Robert Gentleman dan Ross Ihaka yang berkhidmat di Jabatan Statistik, University Auckland New Zealand pada tahun 1995. Nama R dikatakan diambil daripada nama-nama mereka. Semenjak itu, penggunaan R terus berkembang dan semakin meluas dan sekarang digunakan oleh para saintis, ahli statistik dan ahli profesional untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mencabar dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, kejuruteraan dan kewangan.
R ialah pakej perisian sumber terbuka yang dilesenkan di bawah General Public License 3 (GPL 3). Ini bermakna R boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma oleh sesiapa sahaja. Di bawah pelesenan ini juga, kod-kod atur cara R boleh dilihat. Oleh itu, kaedah dan algorithma yang digunakan dalam R boleh dilihat dan dikaji. Jika ada pepijat dalam R, besar kemungkinan ia akan dapat dikesan dan diperbetulkan. Usaha kolaboratif oleh ramai pengatur cara dan pembangun perisian yang sentiasa memperbaikinya telah menjadikan R satu perisian yang boleh diharapkan. Hasil analisis yang dijana R adalah tinggi mutu dan ketepatannya.
R disokong oleh satu komuniti pengguna saintis, ahli statistik dan pengguna profesional yang aktif. Mereka bekerja secara berkolaboratif dan suka rela, bertukar-tukar sumber melalui satu rangkaian repositori R yang dikenali sebagai Comprehensive R Archive Network (CRAN) yang telah diwujudkan. Melalui CRAN, pengguna R dapat menggunakan kaedah analisis atau model statistik atau cara persembahan data yang termaju dan terkini. Tiada perisian analisis statistik komersial yang dapat menandingi R dari skop fungsian perisian dengan sokongan melalui CRAN.
Walau bagaimanapun, jika apa yang disediakan tidak memenuhi keperluan, pengguna boleh mengubahsuai R dan menulis sendiri kod-kod atur cara. Ini dibenarkan di bawah pelesenan GPL 3. Perubahan ini kemudian boleh dikongsi kepada sesiapa sahaja yang berminat dan boleh memanfaatkannya.
Mengapa Guru Perlu Gunakan R?
R sangat sesuai digunakan dalam pendidikan kerana pelesenan nya yang menyokong usaha ke arah kebebasan akademik untuk mengkaji, menguji, mengubahsuai dan berkongsi perisian serta bahan-bahan sumber R yang berkaitan.
Memandangkan keupayaan R yang besar serta penggunaan dan sokongan aktif oleh ahli statistik, para saintis dan penganalisis profesional, kursus-kursus statistik seharusnya memperkenalkan R kepada para pelajar agar seiring dengan perkembangan semasa.
Penggunaan R dapat membantu mengurangkan penggunaan perisian yang tidak berlesen atau tidak sah. Semua perisian R yang dimuat turun atau disalin dan dipasang pada mana-mana komputer adalah berlesen penuh. Perisian R yang digunakan oleh guru untuk mengajar, boleh dipasang pada komputer buku pelajar atau komputer pelajar di rumah. Perisian R yang sama boleh dikongsi bersama rakan guru untuk membuat penganalisaan data dalam kajian atau penyelidikan. Ini semua boleh dilakukan secara sah dari aspek undang-undang tanpa perlu bimbang dengan masalah cetak rompak.
Perisian analisis statistik komersial biasanya mempunyai versi untuk pengguna mencuba. Versi cubaan ini boleh dimuat turun dan diedarkan secara percuma dan boleh digunakan dalam satu tempoh masa yang dihadkan. Jika pengguna ingin terus menggunakannya selepas tempoh percubaan, pengguna perlu membayar lesen perisian. Kod aktivasi akan diberikan untuk membuka sekatan had tempoh penggunaan pada perisian. Ada juga versi cubaan perisian yang boleh digunakan tanpa ada had tempoh masa tetapi mempunyai had keupayaan fungsi perisian. Analisis yang kompleks atau keupayaan kuantiti data yang boleh diproses dihadkan sehingga pengguna membayar lesen untuk mendapatkan versi perisian yang berkeupayaan penuh. Tidak seperti perisian-perisian tersebut di atas, R boleh didapatkan secara percuma tanpa ada apa-apa sekatan dari aspek tempoh masa penggunaan atau dari aspek had keupayaan perisian.
Antara Muka R
Antara muka R adalah menggunakan garis perintah. Ini bermakna pengguna perlu menaip arahan pada prom arahan. Ini boleh dibandingkan dengan antara muka berasaskan grafik, di mana pengguna perlu mengklik pilihan menu-menu dan kotak-kotak dialog untuk memberi arahan.
Walaupun penggunaan antara muka berasaskan grafik nampaknya lebih mudah, iaitu hanya memerlukan pengguna mengklik butang tetikus, antara muka seperti ini tidak dapat membantu pengguna memahami operasi atau analisis yang dilakukan. Siapa sahaja boleh mengklik menu-menu dan kotak-kotak dialog untuk menghasilkan analisis atau operasi yang nampak kompleks tetapi sebenarnya tidak bermakna. Selain itu, proses membuat analisis atau operasi yang kompleks tidak intuitif dan mencabar untuk dilaksanakan menggunakan antara muka grafik. Ini ialah kerana pengguna perlu mengemudi banyak menu-menu dan kotak-kotak dialog. Pengulangan proses analisis yang kompleks juga sukar diingati yang seterusnya sukar untuk dikongsi.
Antara muka garis perintah yang digunakan R pula agak mencabar bagi pengguna baharu terutama dari kalangan yang biasa dengan antara muka berasaskan grafik kerana pengguna perlu tahu apa fungsi untuk ditaip. Sintaks bahasa R perlu dipelajari terlebih dahulu selain memahami analisis atau operasi statistik yang hendak dilakukan.
Walaupun agak mencabar pada permulaannya, antara muka ini dapat melatih pengguna memikirkan dengan teliti tentang operasi dan analisis yang hendak dilakukan. Selain itu antara muka ini membolehkan operasi dan analisis, terutama yang kompleks, diberi dengan cepat, mudah untuk diulangi dan dikongsi.