Ahad, 19 Oktober 2014

Sesi Amali 2: R Sebagai Kalkulator Grafik

Pengenalan

R ialah satu bahasa pengaturcaraan dan persekitaran untuk mengolah dan menganalisis data. R menggunakan antara muka baris perintah di mana pengguna menaip arahan pada prom dan R melaksanakan arahan itu. Biasanya pengguna akan menyimpan satu siri arahan dalam fail teks untuk digunakan pada masa akan datang. Di antara kelebihan menggunakan pendekatan ini berbanding antara muka berasaskan grafik ialah operasi olahan atau analisis data mudah disimpan untuk diulangi atau dikongsi. Selain itu pengauditan dan dokumentasi proses operasi juga mudah dilakukan.


Objektif Sesi

Objektif sesi ini ialah agar pengguna dapat:
1. mengenali antara muka RGui.
2. melaksana operasi aritmetik pada R Console
3. mencipta pemboleh ubah dan menggunakannya
4. menghasilkan carta bar dan graf fungsi-fungsi
5. mengenali R Editor untuk menyunting
6. mengurus ruang ingatan kerja R

Sesi Amali 1: Memasang R di bawah MS Windows

Sesi Amali 1: Memasang R di bawah MS Windows

Pengenalan

Perisian R diterbitkan di bawah GNU General Public License (GPL), versi 2 dan boleh digunakan untuk apa jua tujuan termasuk untuk tujuan komersial. R boleh dilaksanakan di bawah pelbagai sistem operasi seperti UNIX, Linux, MS Windows dan Mac. Untuk sistem operasi MS Windows XP dan sistem operasi selepas itu seperti Vista, Windows 7 dan Windows 8, pakej asas dan pakej tambahan untuk R ada disediakan. Selain versi untuk pemproses 32 bit, R juga ada versi untuk 64 bit bagi memanfaatkan pemproses 64 bit yang menyediakan ruang kerja ingatan melebihi 4GB, dengan itu boleh mengolah set data yang lebih besar.

Objektif Sesi

Di akhir sesi ini pengguna akan dapat
1. memuat turun dan memasang R
2. memulakan dan menamatkan sesi R

Khamis, 9 Oktober 2014

Apa itu R?

Pengenalan
R ialah satu bahasa pengaturcaraan statistik yang telah bermula dalam dunia akademik dan sekarang  semakin popular. R telah dimulakan oleh Robert Gentleman dan Ross Ihaka yang berkhidmat di Jabatan Statistik, University Auckland New Zealand pada tahun 1995. Nama R dikatakan diambil daripada nama-nama mereka. Semenjak itu, penggunaan R terus berkembang dan semakin meluas dan sekarang digunakan oleh para saintis, ahli statistik dan ahli profesional  untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mencabar dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, kejuruteraan dan kewangan. 

R ialah pakej perisian sumber terbuka yang dilesenkan di bawah General Public License 3 (GPL 3). Ini bermakna R boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma oleh sesiapa sahaja. Di bawah pelesenan ini juga, kod-kod atur cara R boleh dilihat. Oleh itu, kaedah dan algorithma yang digunakan dalam R boleh dilihat dan dikaji. Jika ada pepijat dalam R, besar kemungkinan ia akan dapat dikesan dan diperbetulkan. Usaha kolaboratif oleh ramai pengatur cara dan pembangun perisian yang sentiasa memperbaikinya telah menjadikan R satu perisian yang boleh diharapkan. Hasil analisis yang dijana R adalah tinggi mutu dan ketepatannya.

Promo Buku R

Promo buku yang sama Bahagian 2:

Buku Pakej R Commander Alternatif Kepada Aplikasi SPSS merupakan sebuah buku yang ditulis khusus untuk para pelajar dan guru di semua peringkat pengajian tinggi yang telah biasa menggunakan aplikasi SPSS. Perisian R adalah satu perisian untuk melaksanakan analisis statistik yang berkeupayaan tinggi. Pakej R Commander ialah salah satu pakej dalam perisian R dan boleh dijadikan alternatif kepada aplikasi SPSS. Aplikasi SPSS dilesenkan di bawah lesen komersial manakala R Commander dilesenkan di bawah pelesenan sumber terbuka. Ini bermakna R Commander boleh dimuat turun, dipasang dalam komputer atas meja atau komputer bimbit dan digunakan secara percuma. Pakej R Commander juga boleh disalin dan dikongsi dengan rakan-rakan atau pelajar untuk digunakan tanpa risau melanggar apa-apa undang-undang yang biasanya dikenakan ke atas perisian komersial.

Buku ini memberi penekanan kepada bagaimana menggunakan R Commander melalui pendekatan amali dengan memberi fokus kepada melaksanakan analisis statistik asas. Buku ini sesuai untuk siapa sahaja yang sudah mempunyai pengetahuan asas statistik dan hendak menggunakan R Commander untuk menganalisis data dan membina graf statistik. Tiada pengetahuan terdahulu tentang R atau pengetahuan tentang pengaturcaraan diperlukan.

Buku ini dibahagikan kepada tujuh bab dengan tajuk-tajuk seperti berikut:

Bab 1 – Memasang R Commander
Bab 2 – Pengenalan Kepada R Commander
Bab 3 – Memasukkan dan Mengeksport Data Dalam R Commander
Bab 4 – Mengolah Data Dalam R Commander
Bab 5 – Analisis Data Berparameter Menggunakan R Commander
Bab 6 – Analisis Data Tak Berparameter Menggunakan R Commander
Bab 7 – Grafik Dalam R

Adalah diharapkan buku ini dapat membantu para pelajar dan guru memanfaatkan R Commander dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang saintifik dan beretika.
Alhamdullilah, akhirnya manuskrip untuk buku tentang R telah dihantar ke penerbit. Sudah tentu masa diperlukan untuk menyunting dan menyiapkan salinan contoh buku itu. Mudah-mudahan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun 2014 ini. Untuk makluman pengunjung sekelian, promo bagi buku itu adalah seperti berikut:

Buku Pengenalan Kepada Aplikasi R merupakan sebuah buku yang ditulis khusus untuk para pelajar dan guru di semua peringkat pengajian tinggi untuk memanfaatkan aplikasi statistik R. Aplikasi statistik R adalah satu perisian untuk melaksanakan analisis statistik yang berkeupayaan tinggi. Aplikasi R juga boleh menghasilkan grafik yang menarik. Yang lebih penting ialah aplikasi R dilesenkan di bawah pelesenan sumber terbuka. Ini bermakna R boleh dimuat turun, dipasang dalam komputer atas meja atau komputer bimbit dan digunakan secara percuma. Aplikasi R juga boleh disalin dan dikongsi dengan rakan-rakan atau pelajar untuk digunakan tanpa risau melanggar apa-apa undang-undang yang biasanya dikenakan ke atas perisian komersial.

Buku ini memberi penekanan kepada bagaimana menggunakan aplikasi R melalui pendekatan amali dengan memberi fokus kepada melaksanakan analisis statistik asas. Buku ini sesuai untuk siapa sahaja yang sudah mempunyai pengetahuan asas statistik dan hendak menggunakan R untuk menganalisis data dan membina graf statistik. Tiada pengetahuan terdahulu tentang R atau pengetahuan tentang pengaturcaraan diperlukan.

Buku ini dibahagikan kepada sembilan bab dengan tajuk-tajuk seperti berikut:

Bab 1 – Memasang R
Bab 2 – R Sebagai Kalkulator Grafik
Bab 3 – Memasukkan dan Mengeksport Data
Bab 4 – Mengolah Data Dalam R
Bab 5 – Fungsi Dalam R
Bab 6 – Skrip Dalam R
Bab 7 – Analisis Data Berparameter
Bab 8 – Analisis Data Tak Berparameter
Bab 9 – Grafik Dalam R

Adalah diharapkan buku ini dapat membantu para pelajar dan guru memanfaatkan R dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang saintifik dan beretika.


Selasa, 7 Oktober 2014

Kembali dengan semangat baharu...

Alhamdullilah kerana dapat kembali. Dah lama tak kemaskini blog ini... Mohon maaf kepada pelajar-pelajar saya yang mengikuti blog ini; kalau masih ada lagi pengikut... :-)

Tahniah kepada guru-guru, terutama lepasan IPG, yang terus berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran melalui pembelajaran secara jarak jauh atau secara sambilan dengan universiti-universiti tempatan atau luar negara di peringkat yang lebih tinggi seperti sarjana atau kedoktoran. Konsep guru sebagai pelajar sepanjang hayat (lifelong learner) telah sebenarnya diamalkan oleh guru-guru. Tahniah sekali lagi!

Saya ingin kongsi bersama rakan pengunjung tentang penggunaan aplikasi sumber terbuka (open source software, OSS) di dalam bidang pendidikan terutama alat-alat/aplikasi/perisian untuk membuat analisis data sama ada untuk kajian kuantitatif atau kajian kualitatif.

Di antara cabaran para guru-guru ialah dalam menggunakan aplikasi/perisian yang tidak sah dari aspek undang-undang. Sebagai contoh, kalau analisis data kuantitatif, seolah-olah tidak ada perisian lain yang diketahui guru selain SPSS. Akan tetapi harga lesen penuh bagi SPSS versi yang termurah pun mungkin bersamaan dengan sebulan gaji guru!

Bagi saya apa yang lebih penting ialah prinsipnya. Penggunaan perisian yang tidak sah adalah salah disisi undang-undang. Sebagai guru yang menjadi contoh kepada anak muridnya dan beramanah, sepatutnya tidak sekali-kali mengambil jalan mudah.

Sebenarnya ada satu aplikasi/perisian yang boleh dijadikan alternatif kepada SPSS untuk menganalisis data kuantitatif malah sangat berupaya iaitu aplikasi/perisian statistik R. Bagi mereka yang perlukan antara muka yang menggunakan GUI seperti SPSS, pakej R Commander boleh dipasang di bawah R. Aplikasi/perisian R ini adalah silang platform, bermaksud terdapat versi untuk Linux, Windows dan Mac.

Ada satu lagi projek aplikasi/perisian sumber terbuka yang bertujuan menjadi sebagai pengganti terus kepada SPSS iaitu aplikasi/perisian PSPP. Aplikasi/perisian ini masih dalam pembangunan dengan PSPP 0.84 sebagai versi terkini juga terdapat versi silang platform.

Selamat mencuba!