Alhamdullilah, akhirnya manuskrip untuk buku tentang R telah dihantar ke penerbit. Sudah tentu masa diperlukan untuk menyunting dan menyiapkan salinan contoh buku itu. Mudah-mudahan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun 2014 ini. Untuk makluman pengunjung sekelian, promo bagi buku itu adalah seperti berikut:
Buku Pengenalan Kepada Aplikasi R merupakan sebuah buku yang ditulis khusus untuk para pelajar dan guru di semua peringkat pengajian tinggi untuk memanfaatkan aplikasi statistik R. Aplikasi statistik R adalah satu perisian untuk melaksanakan analisis statistik yang berkeupayaan tinggi. Aplikasi R juga boleh menghasilkan grafik yang menarik. Yang lebih penting ialah aplikasi R dilesenkan di bawah pelesenan sumber terbuka. Ini bermakna R boleh dimuat turun, dipasang dalam komputer atas meja atau komputer bimbit dan digunakan secara percuma. Aplikasi R juga boleh disalin dan dikongsi dengan rakan-rakan atau pelajar untuk digunakan tanpa risau melanggar apa-apa undang-undang yang biasanya dikenakan ke atas perisian komersial.
Buku ini memberi penekanan kepada bagaimana menggunakan aplikasi R melalui pendekatan amali dengan memberi fokus kepada melaksanakan analisis statistik asas. Buku ini sesuai untuk siapa sahaja yang sudah mempunyai pengetahuan asas statistik dan hendak menggunakan R untuk menganalisis data dan membina graf statistik. Tiada pengetahuan terdahulu tentang R atau pengetahuan tentang pengaturcaraan diperlukan.
Buku ini dibahagikan kepada sembilan bab dengan tajuk-tajuk seperti berikut:
Bab 1 – Memasang R
Bab 2 – R Sebagai Kalkulator Grafik
Bab 3 – Memasukkan dan Mengeksport Data
Bab 4 – Mengolah Data Dalam R
Bab 5 – Fungsi Dalam R
Bab 6 – Skrip Dalam R
Bab 7 – Analisis Data Berparameter
Bab 8 – Analisis Data Tak Berparameter
Bab 9 – Grafik Dalam R
Adalah diharapkan buku ini dapat membantu para pelajar dan guru memanfaatkan R dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang saintifik dan beretika.