Fujitsu LifeBook-A-Series telah dipasang dengan sistem operasi Ubuntu Jaunty Jackalope 9.04 edisi Sabily semenjak 2008. Sistem operasi ini telah memberikan perkhidmatan yang stabil dan seronok untuk digunakan. Banyak tugas yang memerlukan penggunaan komputer seperti aplikasi pejabat; suntingan dokumen, hamparan elektronik, persembahan, pangkalan data. Kerja-kerja suntingan grafik, audio, mengemaskini laman web, mengurus dan mentadbir komputer pelayan secara jauh telah dapat dilaksanakan dengan licin. Lebih kurang 3 tahun perkhidmatan tanpa banyak masalah.
Virus ialah satu istilah yang asing dan sistem tidak pernah terganggu apatah lagi kehilangan data akibat ancamannya. ClamAV ada dipasang dalam notebook ini sebagai langkah keselamatan tetapi jenis virus yang dijumpai adalah yang memberi ancaman kepada sistem operasi Windows sahaja. Virus yang boleh mengancam sistem operasi ini, setakat ini belum pernah dijumpai. Malah beberapa kali rakan-rakan yang mempunyai pemacu usb yang sudah tidak dapat dibaca oleh Windows akibat virus, telah dapat diselamatkan menggunakan sistem operasi ini. Pendek kata ia tidak memberikan banyak masalah malah telah beberapa kali menjadi penyelamat.
Untuk pasang antivirus clamav dan kemaskini pangkalan data anti virus pada Lucid Lynx 10.04 melalui terminal, taipkan:
sudo apt-get install clamav
sudo freshclam
Setelah fail-fail dimuat turun, dipasang dan pangkalan data virus dikemas kini, anda boleh melaksanakan clamav dengan memberi arahan melalui terminal:
clamscan -r
untuk mengimbas fail-fail dalam folder dan sub-folder home
Untuk memasang antara muka bahagian depan (front-end) perisian anti-virus ini, anda boleh memberi arahan melalui terminal:
sudo apt-get install clamtk
Setelah berjaya dipasang, anda boleh pergi ke Accessories->Virus Scanner untuk mengimbas virus.