Sudah lebih kurang satu bulan menggunakan Natty Narwhal @ Ubuntu 11.04 pada notebook Fujitsu Lifebook A-series A3110 setelah memuat turun kedua dan memasangnya. Prosedur yang sama seperti memasang Jaunty Jackalope sebelum ini; setelah fail iso dimuat turun, dibakar pada CD dan melaksanakan proses but pada notebook menggunakan CD itu. Satu lagi cara yang boleh dilakukan ialah dengan menggunakan Wubi seperti dalam cadangan artikel PC World ini.
Natty Narwhal mempunyai antara muka Unity yang baru dan seronok digunakan, walaupun masih perlu digilap lagi. Untuk reviu yang agak menyeluruh tentang Natty Narwhal, sila pergi ke pautan ini.
Satu kejutan yang menggembirakan apabila modem jalur lebar ZTE Corporation Model MF100 yang dipasang di port USB telah dapat dikenali dan terus mendapat sambungan ke internet melalui penyedia perkhidmatan Celcom.
Seperti mana keluaran sebelum, pemasangannya perlu dilengkapkan dengan codecs audio dan audio, pustaka dan aplikasi tambahan diperlukan. Mengikut laman Multimedia Boom, ada sekurang-kurangnya 10 langkah yang perlu dilakukan untuk melengkapkan pemasangan Natty Narwhal. Sebenarnya langkah pertama yang disenaraikan iaitu mengemaskini sistem adalah yang mesti dilakukan. Yang lain, bergantung kepada keperluan masing-masing.
Jika sambungan ke internet laju, proses ini sekejap sahaja. Kalau tidak, mungkin anda perlu melaksanakan tugasan berbilang!
Glosari istilah
Bahasa Melayu - Bahasa Inggeris
antara muka - User Interface (UI)
jalur lebar - broadband
pustaka - library
pemasangan - installation
tugasan berbilang - multitasking