Baru muat turun distros terbaru Ubuntu untuk mencubanya pada komputer riba Fujitsu A3110 setelah membaca beberapa reviu. Ubuntu 9.04 atau Jaunty Jackalope dikatakan mempunyai beberapa keistimewaan.
Setelah 24 jam memasang dan mengemaskini sistem, setakat ini berjalan dengan baik. Tahniah dan terima kasih kepada MMU kerana dapat menyediakan komputer pelayan untuk pengedaran distros Ubuntu di Malaysia! Satu usaha yang sepatutnya dicontohi oleh semua IPTA/IPTS.
Aplikasi yang biasa saya gunakan, semuanya tersedia - Open Office 3.0.1, Editor grafik Gimp 2.6, pengimbas web Mozilla Firefox 3.0.7, peneroka fail Nautilus 2.25.93, Brasero 2.25.92, Rhythmbox 0.12.0 dan beberapa aplikasi lain yang tidak tersedia seperti View Your Mind boleh dipasang dengan mudah dengan memilih Applications-Add/Remove Applications.
Untuk memainkan fail multimedia seperti mp3 atau flv, perlu memasang beberapa fail library tambahan dan jika anda mempunyai sambungan yang laju ke internet, ini tidak menimbulkan masalah.